Menuju ke Alam Siber
Teknologi mewarnai kehidupan manusia dan membantu memudahkan banyak perkara. Tidak keterlaluan jika dikata-kan dalam masa terdekat, buta teknologi sama dengan buta huruf dan tidak mempunyai laman web sendiri dianggap tidak mempunyai tempat tinggal.

Kebergantungan kepada teknologi tidak dapat disangkal lagi. Kebanyakan daripada kita yang bekerja di pejabat, hidup dirasakan sukar tanpa komputer. Apabila komputer rosak, hidup jadi tidak menentu, pergerakan jadi lambat, fikiran buntu dan tidak tahu apa yang dapat dilakukan sementara menunggu komputer siap dibaiki. Malah, ada yang mengatakan idea keluar mencurah-curah apabila komputer di hadapan dan mati akal apabila dihulurkan pen dan kertas.
Bagi yang tidak bekerja di pejabat juga mungkin mengakui kesan teknologi dalam kehidupan mereka. Apa tidaknya, kemudahan atas talian atau online membolehkan pelbagai jenis bil dibayar di satu tempat sahaja seperti pejabat pos. Ramai orang mengeluh apabila pekerja di kaunter mengata-kan, “Maaf encik, line down. Tidak boleh buat bayaran sekarang”. Malah, bil-bil itu juga dapat dijelaskan secara atas talian dari rumah bagi mereka yang mempunyai akses internet. Terdapat iklan televisyen yang menunjukkan orang kurang upaya dapat menguruskan sendiri transaksi ke-wangannya dengan menggunakan telefon bimbit.
Pelbagai jenis borang juga menyediakan ruangan untuk alamat e-mel. Kebanyakan organisasi tidak lagi mencetak dan mengedarkan minit mesyuarat tetapi menghantarnya melalui e-mel dengan menggunakan kumpulan e-mel atau e-mail group. Semasa mesyuarat berjalan, minit mesyuarat ditayangkan di layar menggunakan projektor LCD.
Dipetik daripada: Tip & Teknik Menggunakan MS Office & Internet










